Akidah Bahagian 2

on Thursday, September 6, 2007

PERCAYA KEPADA ALLAH

Semua penganut agama sama ada agama Islam atau bukan Islam percaya kepada konsep keTuhanan. Di sinilah membezakan sama ada seseorang itu beragama Islam atau bukan ialah daripada segi bagaimana mereka mempercayai Tuhan mereka.
Islam mengajarkan 3 perkara berikut untuk membolehkan seseorang itu mempercayai Allah mengikut landasan yang betul yang telah disyariatkan.

1. Tauhid Rububiah.

Ialah “yakin berserta keimanan yang teguh , kukuh dan mantap (istiqamah) tanpa berbelah bagi dan waswas bahawa hanya Allah sahaja Tuhan yang mencipta segala-galanya. Allah yang maha pencipta (tiada pencipta lain kecuali Dia). Dia adalah Tuhan pemilik segalanya, tiada sekutu dan tiada penolongNya dalam mencipta segalanya. Hanya Allah sahaja yang benar-benar Tuhan yang Maha berkuasa di atas segala apa sahaja ciptaannya, memiliki dan memerintah mengikut kehendakNya, dan tiada kuasa atau perintah yang mutlak selain kuasa dan perintah yang ada padaNya”. (Jumhur ulama)

Secara mudah, konsep rububiah Allah ini boleh dijelaskan sebagai “Allah sahaja yang berkuasa dalam mencipta dan mentadbir alam semesta ini”.

Berdasarkan konsep rububiah ini, contohnya, apabila kita memandu kereta yang dirahmati Allah serta selamat daripada kemalangan, ini adalah sebenarnya disebabkan oleh kehendak Allah yang menyelamatkan kita daripada kemalangan, kerana mungkin disebabkan kita tidak melakukan tegahan Allah yang tertentu dan kita melakukan suruhan Allah. Apabila seseorang itu mengalami kemalangan pula, ini berlaku adalah disebabkan rububiah Allah yang menghendaki pemandu tersebut kemalangan, mungkin kerana Allah hendak menjadikannya sebagai satu musibah yang akan menjadi satu ujian untuk memperbaiki individu tersebut (sekiranya individu tersebut ingin memperbaiki dirinya) dan ia juga adalah satu kafarah iaitu menjadi penebus dosa seperti yang dinyatakan Allah pada surah Asy Syura: 30 di bawah.
Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa) dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu.
Namun seperti kebiasaan (kelaziman) bagi sunah Allah, apabila Allah menghendaki seseorang itu mengalami sesuatu kemalangan, ini dilaksanakan melalui sebagai contohnya ialah tayar meletup, brek putus, terlelap, terlalai atau melalui orang lain yang melanggar kenderaan anda.

Dengan segala kekuasaanNya, Allah boleh menjadikan seseorang itu pandai bagi suatu tempoh, dan pada tempoh masa yang lain orang yang sama akan menjadi bodoh pula. Ini banyak berlaku di masa kini, di mana seorang anak yang sangat bijak dari umur 2 tahun hingga darjah 4 sekolah rendah. Oleh kerana ibu kanak-kanak ini sangat riak dengan suka menceritakan kehebatan anak beliau kepada orang ramai terutama rakan-rakannya, Allah dengan perlahan lahan dan cantik menjadikan anak tersebut semakin hari semakin bebal dan akhirnya pencapaian SPM kanak-kanak ini setakat pangkat 3 sahaja.

Di dalam dunia ini Allah melalui sifat rububiahNya mencipta, menyusun dan mentadbir setiap sesuatu hatta urusan makanan bagi ulat di dalam batu. Allah menjadikan ramai pelajar lelaki Melayu Islam di UTM semakin lama semakin jauh daripada rahmat Allah iaitu merosot pencapaian akademik mereka sebagai balasan musibah untuk mengingatkan mereka dosa menonton video lucah. Allah menghendaki ramai pasangan suami isteri Islam dilanda berbagai masalah kronik sebagai balasan musibah di atas segala dosa yang telah dilakukan seperti suka menonton video dan bahan internet lucah, menggalakkan isteri membuka aurat, bersolek untuk orang ramai dan gemar melakukan berbagai maksiat lain seperti zina, berjudi dan minum arak.

Apakah lawan tauhid rububiah? Lawan bagi tauhid rububiah ialah beriktikad adanya pelaku bersama-sama Allah dalam mengatur alam semesta, dalam mengadakan atau meniadakan sesuatu, menghidup atau mematikan, mendatangkan kebaikan atau menolak keburukan atau beriktikad adanya sesuatu yang menandingi Allah dalam kandungan nama-namaNya dan sifat-sifatNya seperti mengetahui perkara ghaib, pemilikan keagungan, kebesaran dan sebagainya.

Daripada penerangan ini jelas hanya dengan mempercayai bergambar 3 orang boleh membawa kematian kepada salah seorang sudah cukup untuk menjadikan seseorang itu menjadi kafir musyrik. Mempercayai jika biawak melintas sewaktu ingin pergi ke sesuatu tempat bakal mendatangkan kecelakaan juga satu perkara syirik.

Konsep rububiah Allah ini selari dengan apa yang selalu dizikirkan selepas sembahyang;
“La hawla wa laa quwwata illa billahil ... adziem”
Tidak ada daya kekuatan melainkan dari Allah (sahaja).
Kuasa, daya atau kekuatan adalah mutlak milik Allah tetapi apabila kita menafikan hak Allah lalu mengatakan bahawa kuasa itu milik nasib, milik tangkal, milik minda bawah sedar, milik manusia, milik bomoh, milik pengasih, milik pendinding, milik pelaris, milik wali yang sudah meninggal maka kita telah meletakkan taraf Allah lebih rendah atau sama taraf dari semua perkara-perkara ini dan dengan itu telah menjadikan pelaku melakukan syirik lalu boleh dipanggil kafir musyrik.

Memanglah Allah menjadikan sunah Allah (kelaziman) seperti api itu akan memanas, biji benih disiram akan bercambah, bila rajin berusaha akan pandai dan sebagainya. Namun kelaziman atau sunah Allah ini boleh berubah pada bila-bila masa di atas kehendakNya. Sebagai contohnya kalau makan makanan kotor dan basi akan menyebabkan sakit perut dan sebagainya tetapi mengapa ini tidak berlaku kepada orang gila? Walau macam mana dahaga sekali pun kalau minum air satu liter sudah mencukupi namun mengapa orang minum arak hingga 4 atau 5 liter masih tidak mencukupi? Kalau mengikut sunah Allah atau kelaziman apabila sebahagian (separuh) dari otak manusia dibuang pasti mati tetapi kenapa dalam program “Ripley’s believe it or not” orang ini masih sihat dan kini telah mula memperbaiki pergerakannya?. Begitulah Allah melalui sifat rububiahNya boleh sahaja merubah kelaziman (sunah Allah) bila dikehendaki.

Sebagai orang Islam tulen, bolehkah kita melakukan perkara-perkara seperti berikut :

a. Seorang berkata “Saya yakin dengan LUX kerana ia menjadikan kulit saya gebu” tanpa mengaitkan langsung peranan Allah.
Orang ini ingkar tauhid rububiah dan membawa kepada kerosakan akidah dan setiap kerosakan akidah menjadikan pelakunya tidak beriman dan membawa kepada kekafiran. Ini adalah kerana setiap sesuatu perkara yang berlaku sebenarnya adalah di atas kehendak, kekuasaan dan pentadbiran Allah. Sebagai suatu perbandingan, mengikut sunah Allah, seorang yang makan makanan yang kotor dan basi mengikut kebiasaannya akan menyebabkan orang tersebut mengalami keracunan dan ceret beret tetapi sedarkah kita bahawa ramai orang gila yang berpakaian compang campeng makan makanan kotor dan basi tetapi di atas kehendak dan kekuasaan Allah orang ini tidak mengalami sebarang keracunan makanan atau ceret beret.

b. Seorang berkata “Saya dapat keputusan SPM cemerlang kerana saya belajar secara konsisten ...............................” tanpa menyebut pun faktor rububiah Allah.
Sepatutnya sebagai orang Islam yang tulen, beliau sepatutnya berkata seperti ini “Alhamdulillah, saya mendapat keputusan SPM yang cemerlang kerana faktor utama ialah kerana atas izin dan kehendak Allah dan faktor keduanya mungkin kerana saya belajar secara konsisten ............................................”.

c. Seorang berkata “Api membakar kerana sifatnya yang begitu dan begini........” tanpa mengaitkan sedikit pun faktor rububiah Allah.
Allah mencipta api, memilikinya dan memerintah mengikut kehendaknya. Bila kita menyatakan api membakar kerana sifatnya yang begitu dan begini tanpa faktor rububiah Allah, maka kita telah menafikan tauhid rububiah Allah dan gugurlah akidah lalu menjuruskan pelaku kepada kekafiran.

d. Seorang menceritakan kemalangan yang dialami kepada seorang rakannya “engkau tahu Mad, nasib baik betul aku semalam pakai tali keledar. Kalau tidak entah-entah aku hari ini dah jadi arwah. .................”. (Nasib yang mengatur kejadian ?)

e. Disebabkan kemalangan yang kerap berlaku ke atas lori dan bas, seorang menteri telah memberikan komen seperti berikut “Puspakom patut dipersalahkan kerana gagal membuat semakan yang berkesan ke atas kenderaan berat lalu menyebabkan kenderaan ini terlibat dalam kemalangan.”

f. Seseorang berkata kepada rakannya “Kalau aku tak ikut cakap kau, taklah aku terlibat sama di dalam kemalangan ini. Lain kali aku tak mahu ikut cakap kau lagi !”.

g. Seorang isteri meleteri suaminya selepas kereta yang mereka naiki untuk balik ke kampung terlibat di dalam kemalangan “Itulah abang tak nak dengar cakap ayang. Kan ayang dah suruh balik tengah malam, kereta tak banyak, tapi abang degil nak jugak balik siang hari. Ha sekarang apa dah jadi?”

h. Ahmad berkata kepada rakannya Amir sebelum mereka berdua memulakan perjalanan ke bandar “petang ini pasti hujan. Elok kita bawa baju hujan.” Amir tidak mengendahkan pesanan Ahmad dan tidak bawa baju hujan. Selepas kira-kira sejam menunggang motor tiba-tiba hujan lebat turun lalu Ahmad berkata “Ha kan aku dah cakap tapi engkau degil, sekarang kan dah basah kuyup.”

i. “Jikalau tidak kerana anjing itu nescaya kami akan kecurian malam tadi” (Ibnu Masud R.A) (mempersekutukan Allah dengan Anjing!)

Tukang sihir atau bomoh memang telah jelas kesyirikan mereka dan Nabi Muhammad telah bersabda mafhumnya :
“Hukuman tukang sihir ialah dipenggal dengan pedang”
(Riwayat Tirmizi dari Jundub).

Gejala surat berantai masih lagi berleluasa semenjak puluhan tahun yang lampau sehingga kini dan masih berlaku juga di kampus UTM. Bagi sesetengah kes, penghantar surat berantai ini terdiri daripada kalangan pensyarah Islam. Antara pelbagai surat berantai ini ada yang dimulakan dengan nasihat yang agak baik tetapi bermotifkan agar selepas dibaca, diikuti dengan galakan membeli tiket loteri (berjudi) dan sebagai penutupnya adalah perosak akidah iaitu agar orang Islam membuat salinan sebanyak 20 salinan dan menghantar kepada 20 penerima lain. Ugutan yang diberikan di dalam surat berantai ini ialah sekiranya penerima tidak membuat 20 salinan untuk 20 penerima lain, penerima akan di timpa musibah. Mempercayai tidak memanjangkan surat berantai boleh mendatangkan musibah adalah merosakkan akidah lalu menjuruskan pelaku kepada kekafiran. Surat berantai adalah satu senjata ampuh musuh Allah yang ingin melihat orang Islam menjadi lemah, mudah ditakutkan dan seterusnya rosak akidah mereka.

0 comments: