Akidah bahagian 1

on Thursday, September 6, 2007

Akidah bahagian 1

Kebaikan pertama yang disarankan Al Quran ialah seruan untuk mentauhidkan Allah. Al Quran diturunkan kepada Nabi SAW ketika umat manusia pada waktu itu mensyirikkan Allah. Persoalan penting kini ialah adakah umat “Islam” di Malaysia bebas dari mengerjakan perbuatan syirik?
Agama Islam adalah agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Agama Islam mengakhiri dan menyempurnakan agama Allah yang lain sebelumnya.
Agama Islam terdiri daripada akidah dan syariat.
Akidah dari sudut bahasa Melayu ialah kepercayaan manakala menurut bahasa arab ia membawa maksud ikatan. Menurut syarak pula akidah bermaksud “ ikatan keimanan yang kukuh, teguh, kuat dan mantap terhadap Allah SWT, para malaikatNya, kitab-kitabNya, para rasulNya, hari akhirat dan beriman terhadap qadak dan qadar sama ada yang baik atau yang buruk semuanya datang dari Allah SWT”
(Jumhur ulama / disepakati semua ulama).
Syariat bermaksud hukum-hukum yang terkandung dalam agama Islam. Syariat di dalam agama Islam adalah berdasarkan Al-Quran dan hadis. Syariat Islam terdiri daripada:
1. Ibadah ; seperti solat, puasa, zakat dan haji.
2. Adab dan akhlak ; seperti jujur, menepati janji dan amanah.
3. Muamalah ; seperti jual beli.
4. Hubungan kekeluargaan ; seperti nikah, talak, dan faraid.
5. Hukuman jenayah ; seperti qisas dan hadd.
6. Hubungan antarabangsa.
Seseorang individu dengan akidah yang mantap tetapi tidak melaksanakan syariat Islam adalah Islam yang sia-sia sahaja manakala syariat yang cantik tanpa diiringi dengan akidah yang sempurna menjadikan seseorang individu itu sama nilainya dengan orang kafir.
Seperti yang dinyatakan di atas mengenai maksud akidah mengikut syarak, pokok kepada persoalan akidah di atas boleh diterjemahkan kepada rukun iman yang terdiri daripada 6 perkara iaitu :
1. Percaya kepada Allah
2. Percaya kepada malaikat
3. Percaya kepada kitab-kitab Allah
4. Percaya kepada Rasul
5. Percaya kepada hari akhirat
6. Percaya kepada qadak dan qadar

0 comments: